Sunday, October 31, 2010

Kita Sebenarnya Makin Parah...


Tergamam dan tidak tahu mana nak mula, sudut mana nak dikupas, bab mana nak dianalisa. Buang bayi dari atas flat, pelajar campak bayi dari kolej kediaman, tiba2 semalam dikejutkan dengan berita yang lebih buruk. REMAJA 12 TAHUN SANGGUP PANJAT BUMBUNG FLAT KEDIAMAN UNTUK BERASMARA DANA DENGAN 3 REMAJA LELAKI. Mereka bukan remaja bodoh tapi bermaklumat sebab dijumpai juga beberapa keping kondom yang tentulah bermaksud 'for safe sex'. Safe from STD, HIV, AIDS. Safe from unwanted pregnancy. Guna kondom untuk 'seks yang selamat'. Selamat dari penyakit yang disebarkan melalui seks rambang, selamat dari HIV dan AIDS. Paling penting selamat dari termengandung.

Namun ketentuan Allah mengatasi segala2nya. Remaja perempuan remaja sunti 12 tahun ini tidak selamat apabila jatuh dari balkoni lalu MAUT ketika cuba melarikan diri setelah menyedari aktiviti mereka telah dikesan oleh orang-orang dewasa kediaman tersebut. Astaghfirullah, apa lagi perkataan yang paling sesuai digunakan untuk menerangkan tragisnya peristiwa ini. Apakah cukup kita ni setakat menggeleng2 kepala.

Hai bapa2, ibu2, guru2, penjaga kepada remaja. JANGAN PERCAYA remaja kita 100%. Saya sangat cemburu anak2 remaja saya. Semasa mereka menginjak umur remaja yang penuh perasaan ingin tahu, rasa cinta dan nafsu yang membuak2 ditambah dengan pendedahan kepada dunia IT tanpa sempadan,saya sentiasa pantau secara lagsung. Kalau hantar tuisyen, kadang2 datang balik 1/2 jam kemudian untuk pastikan anak ada dalam kelas. Bila ada peluang, buka hanfon untuk semak sms yang dihantar dan diterima, nombor2 panggilan dan sekarang kena cek gambar2 (dulu2 zaman remaja anak2 saya hanfon belum canggih sangat).

Remaja saya tidak saya lepaskan hatta ke KLCC yang hanya sejarak 2 stesyen jauhnya dari rumah saya. Kalau nak pergi untuk tujuan apa dan sudah tentu diiringi Mama atau dan Babah.. Mereka kadang2 malu, sebab kawan2 kata macam orang dolu2, kolot. Tidak kira anak lelaki atau perempuan, sama sahaja cara saya mendidik dan membesarkan mereka walaupun sudah tentu ada perbezaan dari sudut biologi dan perbezaan jantina.

Sehinggalah mereka berumur 20 tahun keatas, dan setelah kami suami isteri meyakini kebolehan, kematangan dan kedewasaan mereka untuk menjaga diri, barulah mereka diberi lebih kebebasan untuk mengendalikan urusan kehidupan mereka sendiri. Banyak sebenarnya yang kami suami isteri lalui bersama dalam mendidik dan membesarkan anak2. Kami melabur dalam pendidikan mereka sehingga kami tidak pernah hidup mewah walau pun dua2 Doktor Perubatan. Sedaya upaya kami ikut sepenuhnya ajaran Alquran dan AsSunnah sebab kami yakin dan sewajarnya semua ibubapa Islam wajib yakin didik anak cara Islam itulah yang selamat untuk mereka menghadapi dunia dan akhirat.

Berbalik kepada cerita sedih tadi, takziah kepada keluarga remaja perempuan yang terbunuh. Moga Allah ampunkan dosa dia kerana mungkin terlalu muda untuk sempat membezakan buruk baik, ibu bapanya saya percaya sudah cuba mengikut kemampuan mereka. Apa nak dikata, kejahilan merata2. Kalau sampai isteri pemimpin tinggi negara pun tidak tahu membezakan Islamic dengan nonIslamic situation yang membawa kepada penghinaan kepada Islam, apa lagi pilihan kita ada.

"Saya" merujuk kepada Dr Lo`Lo - artikel ini petikan dari blog beliau utk dikongsi bersama..

Friday, October 8, 2010

Asal Kejadian Manusia




Rahsia asal kejadian manusia mengikut al-Quran” ini sangat panjang, namun pada saya ianya amat penting bagi kita untuk baca dan ambil tahu mengenainya. Peruntukkanlah sedikit masa anda untuk menelaah artikel ini. Saya jamin, anda tidak akan rugi apa-apa pun, malah ianya akan menambahkan ilmu dan pengetahuan anda.

Seterusnya membuatkan anda akan berfikir tentang segala kejadian yang Allah tetapkan. Justeru dengan itu, anda akan merasai betapa Maha Hebat dan Maha Berkuasanya ALLAH SWT, Robbul ‘aalamin. Selamat membaca...

Allah SWT menerangkan di dalam kitab suci al-Quran, Proses kejadian manusia mempunyai beberapa peringkat iaitu:

PERINGKAT PERTAMA: NUTFAH:
Iaitu peringkat pertama bermula selepas persenyawaan atau minggu pertama. Ianya bermula setelah berlakunya percampuran air mani. Sebagaimana firman Allah dalam surah al-Insan: 2 yang bermaksud:"

Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada setitis air mani yang bercampur yang Kami (hendak mengujinya dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat” Menurut Ibn Jurair al-Tabari, asal perkataan nutfah ialah nutf ertinya air yang sedikit yang terdapat di dalam sesuatu bekas samada telaga, tabung dan sebagainya. Sementara perkataan amsyaj berasal daripada perkataan masyj yang bererti percampuran.

Berasaskan kepada makna perkataan tersebut maksud ayat di atas ialah sesungguhnya Kami (Allah) menciptakan manusia daripada air mani lelaki dan air mani perempuan.

Daripada nutfah inilah Allah menciptakan anggota-anggota yang berlainan, tingkahlaku yang berbeza serta menjadikan lelaki dan perempuan. Daripada nutfah lelaki akan terbentunya saraf, tulang dan fakulti, manakala dari nutfah perempuan akan terbentuknya darah dan daging.

PERINGKAT KEDUA: ‘ALAQAH:
Peringkat pembentukan alaqah ialah pada hujung minggu pertama/hari ketujuh. Pada hari yang ketujuh telor yang sudah disenyawakan itu akan tertanam di dinding rahim (qarar makin). Selepas itu Kami mengubah nutfah menjadi alaqah.

Firman Allah SWT yang bermaksud :
”Kemudian Kami mengubah nutfah menjadi alaqah”. Surah al-Mukminun: ayat 14.
Kebanyakan ahli tafsir menafsirkan alaqah dengan makna segumpal darah. Ini mungkin dibuat berasaskan pandangan mata kasar. Alaqah sebenarnya suatu benda yang amat seni yang diliputi oleh darah. Selain itu alaqah mempunyai beberapa maksud: sesuatu yang bergantung atau melekat pacat atau lintah suatu buku atau ketulan darah.

Peringkat alaqah adalah peringkat pada minggu pertama hingga minggu ketiga di dalam rahim.

PERINGKAT KETIGA: MUDGHAH:
Pembentukan mudghah dikatakan berlaku pada minggu keempat. Perkataan mudghah disebut sebanyak dua kali di dalam al-Quran iaitu surah al-Hajj ayat 5 dan surah al-Mukminun ayat 14. Firman Allah yang bermaksud:

“Lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging”. Surah al-Mukminun: 14
Diperingkat ini sudah berlaku pembentukan otak, saraf tunjang, telinga dan anggota-anggota yang lain. Selain itu sistem pernafasan bayi sudah terbentuk. Vilus yang tertanam di dalam otot-otot ibu kini mempunyai saluran darahnya sendiri. Jantung bayi pula mula berdengup. Untuk perkembangan seterusnya, darah mula mengalir dengan lebih banyak lagi kesitu bagi membekalkan oksigen dan pemakanan yang secukupnya. Menjelang tujuh minggu sistem pernafasan bayi mula berfungsi sendiri.

PERINGKAT KEEMPAT: IZAM DAN LAHM:
Pada peringkat ini iaitu minggu kelima, keenam dan ketujuh ialah peringkat pembentukan tulang yang mendahului pembentukan oto-otot. Apabila tulang belulang telah dibentuk, otot-otot akan membungkus rangka tersebut. Firman Allah SWT didalam Surah al-Mukminun: 14 yang bermaksud:

“Lalu Kami mengubahkan pula mudghah itu menjadi izam dan kemudiannya Kami membalutkan Izam dengan daging”

Kemudian pada minggu ketujuh terbentuk pula satu sistem yang kompleks. Pada tahap ini perut dan usus, seluruh saraf, otak dan tulang belakang mula terbentuk. Serentak dengan itu sistem pernafasan dan saluran pernafasan dari mulut ke hidung dan juga ke paru-paru mula kelihatan. Begitu juga dengan organ pembiakan, kalenjar, hati, buah penggang, pundi air kencing dan lain-lain terbentuk dengan lebih sempurna lagi. Kaki dan tangan juga mula tumbuh. Begitu juga mata, telinga dan mulut semakin sempurna. Pada minggu kelapan semuanya telah sempurna dan lengkap.

PERINGKAT KELIMA: NASY’AH KHALQAN AKHAR:
Pada peringkat ini iaitu menjelang minggu kelapan , beberapa perubahan lagi berlaku. Perubahan pada tahap ini bukan lagi embrio tetapi sudah masuk ke peringkat janin. Pada bulan ketiga, semua tulang janin telah terbentuk dengan sempurnanya. Kuku-kukunya pun mula tumbuh. Pada bulan keempat, pembentukan uri menjadi cukup lengkap menyebabkan baki pranatal bayi dalam kandungan hanya untuk menyempurnakan semua anggota yang sudah wujud. Walaupun perubahan tetap berlaku tetapi perubahannya hanya pada ukuran bayi sahaja.

PERINGKAT KEENAM: NAFKHUR-RUH:
Iaitu peringkat peniupan roh. Para ulamak Islam menyatakan bilakah roh ditiupkan ke dalam jasad yang sedang berkembang? Mereka hanya sepakat mengatakan peniupan roh ini berlaku selepas empat puluh hari dan selepas terbentuknya organ-organ tubuh termasuklah organ seks. Nilai kehidupan mereka telah pun bermula sejak di alam rahim lagi. Ketika di alam rahim perkembangan mereka bukanlah proses perkembangan fizikal semata-mata tetapi telahpun mempunyai hubungan dengan Allah SWT melalui ikatan kesaksian sebagaimana yang disebutkan oleh Allah di dalam al-Quran surah al-A’raf: 172. Dengan ini entiti roh dan jasad saling bantu membantu untuk meningkatkan martabat dan kejadian insan disisi Allah SWT.

Untuk melihat video mengenai kejadian manusia ini, ayuh klik disini, http://www.youtube.com/watch?v=CGj6st_mdGU

Dalam surah Al-Hajj ayat 5, Allah Ta’ala berfirman. Yang bermaksud: Wahai umat manusia, sekiranya kamu menaruh syak (ragu-ragu) tentang kebangkitan makhluk (hidup semula pada hari kiamat), maka (perhatilah kepada tingkatan kejadian manusia) kerana sebenarnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak disempurnakan; (Kami jadikan secara yang demikian) kerana Kami hendak menerangkan kepada kamu (kekuasaan Kami)dan Kami pula menetapkan dalam kandungan rahim (ibu yang mengandung itu) apa yang Kami rancangkan hingga ke suatu masa yang ditentukan lahirnya; kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian (kamu dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) dan ada pula yang dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga ia tidak mengetahui lagi akan sesuatu yang telah diketahuinya dahulu. Dan (ingatlah satu bukti lagi); Engkau melihat bumi itu kering, kemudian apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya (dengan tumbuh-tumbuhan yang merecup tumbuh), dan gembur membusutlah ia, serta ia pula menumbuhkan berjenis-jenis tanaman yang indah permai.

Hadis Rasulullah s.a.w. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya: Secara marfuk Baginda s.a.w bersabda: Allah s.w.t mengutuskan Malaikat ke dalam rahim. Malaikat berkata: Wahai Tuhan! Ia masih berupa air mani. Setelah beberapa ketika Malaikat berkata lagi: Wahai Tuhan! Ia sudah berupa darah beku. Begitu juga setelah berlalu empat puluh hari Malaikat berkata lagi: Wahai Tuhan! Ia sudah berupa seketul daging. Apabila Allah s.w.t membuat keputusan untuk menciptakannya menjadi manusia, maka Malaikat berkata: Wahai Tuhan! Orang ini akan diciptakan lelaki atau perempuan? Celaka atau bahagia? Bagaimana rezekinya? Serta bagaimana pula ajalnya? Segala-galanya dicatit semasa dalam perut ibunya lagi.

Dengan ayat-ayat dan hadis diatas yakinlah Allah itu Maha Pencipta. Menurut Profesor Dr. Keith Moore (http://www.islamic-awareness.org/Quran/Science/scientists.html) untuk mengkaji ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis Nabi, beliau berasa takjub.

Beliau berasa pelik bagaimana Nabi Muhammad s.a.w., pada 15 kurun yang lalu, mampu menerangkan mengenai embrio dan tahap-tahap perkembangannya dengan terperinci dan tepat sekali sedangkan ianya hanya ditemui oleh ahli sains sejak 50 tahun lalu sahaja (sekitar 1940-1955).

Ketakjuban beliau bertukar menjadi penghormatan terhadap ayat-ayat tersebut. Beliau memberikan pandangan ini kepada rakan-rakan intelek dan kelompok saintifiknya. Malahan beliau memberikan syarahan di atas topik keserasian di antara kajian embrio moden dengan Al-Quran dan Sunnah dimana beliau berkata:

"Saya berbesar hati untuk membantu menerangkan kenyataan-kenyataan dari Al-Quran mengenai kejadian manusia. Jelas bagi saya bahawa kenyataan-kenyataan ini diberikan kepada Muhammad dari Allah, atau Tuhan, oleh kerana kesemua ilmu-ilmu ini tidak ditemui sehingga beberapa kurun selepas beliau. Ini membuktikan kepada saya Muhammad ialah seorang Rasul Allah.”

Lazimnya, sesudah memikirkan segala kejadian alam semesta dan keagungan Allah yang menciptakannya, akhirnya kita akan kembali memikirkan kejadian diri kita sendiri. Kita tercipta daripada ibu bapa kita dan sekiranya ibu bapa tiada atau salah seorangnya tiada, tentu sahaja kita tidak mungkin dilahirkan ke dunia ini.

Cuba kita renung dan fikirkan, bagaimana kiranya kita tidak ada, tidak pernah ada, tidak tertulis di Loh Mahfuz atau tidak pernah dilahirkan kedunia. Jika tidak mencipta kita sudah pasti kita tidak ada. Jika kita tidak ada, sudah tentu kita tidak mengetahui adanya alam semesta yang luas ini. Tentu kita tidak kenal matahari dan bulan, tidak kenal manisnya gula, lazatnya makanan dan hidangan. Kita juga tentunya tidak dapat merasakan indahnya rasa kasih sayang, cinta dan tentunya saat-saat bahagia tidak mungkin kita rasai.

Syukur, alhamdulillah, kini kita telah ada dan wujud. Kita sudah dapat menyaksikan keindahan alam maya, dapat melihat pelbagai warna dan pemandangan, melihat sang suria, bulan dan bintang-bintang yang menghiasai segala ruang angkasa. Kita sudah dapat menikmati pelbagai makanan dan hidangan yang lazat dan enak. Kita juga telah dapat merasai betapa indahnya belaian kasih sayang, cinta dan saat-saat kebahagiaan.

Seterusnya kita dapat mengenali siapa pencipta kepada semuanya ini termasuk alam yang maha luas ini. Lalu kita dapat menikmati kasih dan sayang-Nya serta bernaung di bawah lindungan dan rahmat-Nya. Inilah sebenarnya nikmat terbesar yang telah Allah kurniakan kepada kita. Kita seharusnya menggandakan rasa kesyukuran dan berterima kasih kepada Allah kerana bukan sahaja telah menjadikan kita, bahkan telah memilih kita menjadi umat-nya yang beriman dan diberikan petunjuk dan hidayah-Nya. Sehingga kita dapat mengenali Pencipta kepada alam semesta ini yang begitu indah dan teliti sekali.

Kesimpulannya dengan paparan ringkas ini kita dapat mengetahui bagaimana proses kejadian manusia dan membuktikan Kekuasaan dan Kehebatan Allah SWT. Mudah-mudahan kita semua menjadi insan yang sentiasa mengenali diri dan mengetahui asal-usul kejadiannya. Agar kita juga tidak menjadi manusia yang mudah lupa diri dan asal-usul siapakah sebenarnya diri kita. Amin Ya Rabbal Alamin.